Apa lagi nak dikata, dan siapa yang menjangkakan keputusan ini!!!
Perlawanan separuh akhir pertama ini menghasilkan 8 GOL; jauh dari jangkaan saya. Prediction pemenang saya juga tak tepat, walaupun dalam hati kecil terdetik Jerman lebih berpeluang menang daripada analisis sendiri saya.
Jerman gah dengan mengejutkan ramai membolosi gawang Brazil 7 kali.
Hanya 29 minit saja Jerman telah mengesahkan tempat ke Final. Mungkin lebih awal dari itu (5 minit lebih awal) sebab dalam 29 minit ini Jerman telah menjaringkan 5 gol. Pemain Brazil seperti berada dalam kejutan, apatah lagi penyokong mereka. Bagai tak percaya dengan apa yang mereka lihat dan ada yang menangis.
Brazil sebenarnya bermula dengan baik. Dari wisel mula, pemain mereka terus melancarkan gerakan ke arah pintu gol Jerman, manakala pemain Jerman masih menyesuaikan diri. Setelah 10 minit, Jerman telah mampu menyerap asakan awal Brazil dan mula melakukan serangan. Dari satu serangan, Jerman mendapat sepakan penjuru, dan hasil dari pertahanan yang longgar, Thomas Muller yang tidak dikawal menanduk masuk hantaran Toni Kroos dengan mudah.
Pertahanan Brazil memang dijangka bakal goyah tanpa kapten mereka, Thiago Silva, yang digantung dalam perlawanan ini. Sepanjang kejohanan, Silva adalah pengatur dan perancang di benteng pertahanan Brazil. Dia banyak menolong gandingannya David Luiz, yang gemar naik ke kawasan lawan, dari keadaan bahaya apabila Brazil kehilangan bola dan menghadapi counter-attack. Namun dalam perlawanan ini, penggantinya Dante tidak dapat memberi servis yang sama. Akibatnya, barisan pertahanan Brazil tampak kucar-kacir, tiada disiplin dan mudah panik.
Dalam 7 minit, bermula dari minit ke 23, Jerman mendedahkan betapa rapuhnya pertahanan Brazil. Dengan mudah mereka menjaringkan 2 gol pantas dalam masa 2 minit melalui Miroslav Klose (minit-23) dan Toni Kroos (minit-24). Moral pemain Brazil berada dalam keadaan yang rendah dan keyakinan mereke terjejas. Di sini tampak tiada ketua atau sumber inspirasi di atas padang yang mengawal keadaan dan juga menaikkan kembali moral pemain. Ini memberi kesan lebih buruk, berselang 5 minit berikutnya, 2 lagi gol dijaringkan Jerman melalui Toni Kroos (minit-26) dan Sami Khedira (minit-29).
Brazil kini secara belum rasmi dah tamat cabaran mereka di Piala Dunia 2014.
Directionless Brazil terus tanpa haluan selepas gol kelima itu. Nasib baik, Jerman memperlahankan rentak permainan dan tidak menyerang Brazil lebih hebat lagi sepanjang baki separuh masa pertama itu.
Separuh masa kedua bermula dan Brazil, mungkin akibat teguran dan motivasi dari jurulatih mereka, tampil lebih kemas. Mungkin ini dibantu dengan 2 pertukaran di masa rehat dan juga rentak yang lebih perlahan dari pemain Jerman. Dalam 10 minit awal separuh masa kedua, Brazil menghasilkan banyak peluang gol dan hampir membolosi gawang Jerman. Manuel Neuer menunjukkan ketangkasan dengan 3 kali menyelamatkan percubaan Brazil yang amat berbahaya.
Jurulatih Jerman, Joachim Leow, nampak kurang gemar dengan keadaan ini dan memasukkan Andre Schurrle pada minit 58. Pasukan Jerman selepas itu bermain lebih baik dan mula menyerang balas. Hasilnya Schurrle menambah lagi 2 gol pada minit 69 dan 79. Brazil mendapat gol saguhati melalu Oscar pada minit-minit akhir perlawanan. Keputusan akhir - Brazil 1 Jerman 7.
5 analisis ringkas tentang impak keseluruhan perlawanan:
1. Jerman menunjukkan credential sebagai bakal juara. Mereka cukup tajam dan berbahaya di bahagian serangan. Cuma bahagian pertahanan masih lagi dilihat titik kelemahan pasukan. Di pintu gol, Manuel Neuer membuktikan dia penjaga gol berkelas dunia.
2. Thiago Silva, ketiadaannya memberi impak lebih besar berbanding Neymar. Organisasi bahagian pertahanan Brazil hancur tanpanya.
3. Fred bakal dijadikan antara kambing hitam faktor kekalahan Brazil. Betapa useless-nya dia dalam perlawanan ini, hampir tiada sumbangan langsung. Tidak hairanlah petukarannya di separuh masa kedua disambut dengan sorakan boo yang paling kuat.
4. Ini adalah skuad Brazil yang lemah berbanding kesemua edisi kejohanan Piala Dunia yang lepas. Kumpulan pemain dipilih kali ini kurang kualiti untuk memenangi kejohanan ini. Hanya semangat berpasukan dan motivasi hebat dari jurulatih telah membawa Brazil sejauh ini.
5. Miroslav Klose meletakkan dirinya sebagai pemegang rekod penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia, dengan keseluruhan 16 gol dari 4 edisi kejohanan. Dia memecah rekod yang sebelum ini dipegang oleh lagenda Brazil, Ronaldo.
0 comments:
Post a Comment